Showing posts with label citer aku dan sahabat. Show all posts
Showing posts with label citer aku dan sahabat. Show all posts

Monday, August 10, 2009

Saya, Kumpulan Marhaban dan Pernim...

Macam tak percaya bila saya turut serta dalam rombongan kumpulan marhaban kawasan perumahan yang saya diami ini. Saya pergi bersama anak yang kedua (Angah). Suami tidak pergi kerana sibuk bekerja.

Kami bertolak dengan menaikki bas. Destinasi pertama yang kami tuju ialah Rumah Anak Yatim Pernim atau Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman, Malaysia. Lokasinya berdekatan sahaja dengan kediaman saya iaitu di Kampung Cheras Baru tapi sebelum ini saya tidak tahupun Cheras Baru ini adalah tempatnya.

Sebelum ini saya pernah jugalah menyaksikan di televisyen tentang anak-anak yatim Pernim ini. Pengasasnya iaitu Puan Hajah Norlina mengambil anak-anak yatim sama ada yang telah dijangkiti HIV/ AIDS atau tidak, menjadi anak angkatnya. Anak-anak tersebut dibawa tinggal bersama di rumah Pn Hajah Norlina sekeluarga. Segala keperluan anak-anak tersebut ditanggung semuanya oleh Pn Hajah Norlina seperti makan minum, keperluan sekolah dan segala ubat-ubatan. Anak-anak tersebut bersekolah di SK Taman Muda. Begitu besarnya pengorbanan, jasa dan budi yang telah dilakukan oleh Pn Hajah Norlina. Adakah kita sanggup berbuat begitu seperti yang dilakukan oleh Pn Hajah Norlina?

Bila kami ajukan soalan apakah sebab Pn Hajah Norlina sanggup berbuat demikian? Senang saja jawapannya, iaitu dia melakukan ini semua adalah kerana fardhu kifayah. Jika dia tidak melakukan kerja ini, semua umat Islam berdosa. Kerana katanya ada di antara kanak-kanak tersebut (Islam)telah diambil oleh rumah kebajikan orang Kristian kerana tiada waris yang mahu menjaganya. Waris-waris tersebut tidak mahu menjaga anak-anak yatim ini kerana mereka telah dijangkiti HIV/AIDS.

Semasa kami tiba di PERNIM Pn Hajah Norlina tidak ada di sana kerana pergi ke pasar membeli barang-barang basah. Untuk pengetahuan semua, Pn Hajah Norlina ini membuka perniagaan ketering untuk majlis-majlis keramaian atau kenduri-kendara. Wang daripada perniagaan tersebutlah digunakan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim ini.




Ini adalah antara barang-barang makanan yang dibawa ke rumah anak yatim tersebut. Jadi sempatlah kami bersarapan bersama sama dengan anak-anak yatim tersebut. Mereka semua amat berdisiplin. Macam manalah Pn Hajah Norlina mendidik mereka semua yang seramai 48 orang ini.




Kanak-kanak PERNIM tu seramai 48 orang. Ini adalah sebahagian daripadanya. Mereka sedang bersarapan nasi lemak yang dibawa oleh kumpulan marhaban Sri Indah. Baju yang dipakainya sama sahaja. Hari ini merah berbelang hitam, esok kuning berbelang biru tua, lusa coklat berbelang krim dan seterusnya.



Puan Hajah Norlina sedang memberi sedikit penerangan kepada kami yang hadir. Kanak-kanak yang berdiri di hadapan Pn. Hajah Norlina itu , Murni namanya. Dia adalah antara pengidap Aids yang kritikal. Puan Hajah Norlina kata adik Murni hanya menunggu ajalnya sahaja dijemput Ilahi. Perutnya sudah agak buncit kerana hatinya telah membengkak. Kulit di bahagian kepalanya sudah ditumbuhi kudis yang melarat. Doktor di hospital sudah menyuruh Pn. Hajah Norlina membawa adik Murni pulang ke rumah sahaja. Adik Murni adalah anak pelacur di Lorong Haji Taib. Bapanya (tapi tidak pernah berkahwin dengan ibunya) masih lagi merayau di Chow Kit. Warisnya dari Kelantan tidak mahu menjaganya adik Murni. Ya Allah kesiannya...



Minta maafla gambar saya ni melintang pula. Saya dah cuba nak tegakkan tapi tak menjadi. Laptop saya ni baru diformat semula. Gambar semuanya masuk dalam program PICASA 3. Saya dah cuba beberapa kali tapi tetap tak menjadi.

Gambar ini adalah bukti bahawa saya menyertai rombongan itu. Saya bersama Pn Hajah Norlina iaitu pengasas PERNIM. Nampak tak mata tu agak merah sebab terlalu sebak mendengar kisah tentang adik Murni yang hanya menunggu ajalnya sahaja. Semua yang ada di situ sebak, bukan saya seorang sahaja. Adik Murni tahu yang ajalnya akan tiba bila-bila masa sahaja.



Sebelum balik saya dan ahli rombongan marhaban Sri Indah telah bergambar sekali lagi dengan pengasas PERNIM dan anak-anak yatim tersebut. Rasa berat hati untuk meninggalkan mereka semua. Mereka semua tidak bersalah...

Pengajaran:

1. Sekali sekala elok juga rasanya membuat lawatan macam ni. Dapat juga menyedari betapa bertuahnya diri ini kerana masih lagi mempunyai kedua ibubapa yang menyayangi.

2. Lawatan macam ini dapat menimbulkan kesedaran dan menyucikan hati.

3. Jika kita rasa kita susah dan sakit, rupanya ada lagi orang lain yang lebih susah dan sakit daripada kita. Sepatutnya kita lebih bersyukur.

p/s: Kawan-kawan rasa pelik tak tiba-tiba 'aku' bertukar menjadi 'saya'. Ini semua adalah gara-gara tugasan yang baru diberi oleh DR NORMALIZA. Demi 10 markah 'aku' menjadi 'saya'. Nampak baik sangat. Teruskanlah memberi komen-komen dalam setiap post yang saya buat ini, ye kawan-kawan...