Tuesday, November 3, 2009

cerite lucu rekaanku...

Seperti yang aku pernah ucapkan dalam komen facebook dulu...bila sem 6 dah habis aku akan buat post tentang cerita lucu kanak-kanak dalam blogku. ni lah ceritanya. Bulat bin Dogol. ini semua adalah kerja kursus yang tak pernah habis diberikan oleh dr. normaliza.

apa-apapun tq dr. atas segala ilmu yang diberikan. ceritanya adalah rekaanku semata-mata. watak dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata...kuikuikui.

selamat membaca


Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi


CERITA KANAK-KANAK 6 TAHUN
( SIRI BACAAN KETAWA )

TAJUK CERITA :
DOGOL BIN BULAT
*********************************************
DIHASILKAN OLEH
NORHUDA BT AHMAD (B10122)

PROGRAM
B.A.(BAHASA DAN LINGUISTIK MELAYU)

PENSYARAH
DR. NORMALIZA ABDUL RAHIM

**********************************************************


Di Kampung Ulam Petai Muda ( UPM ), terdapat beberapa buah rumah kampung. Salah sebuah rumah tersebut didiami oleh sebuah keluarga yang hidupnya agak susah. Pak Bulat dan isterinya bernama Mak Manis tinggal di rumah tersebut. Mereka berdua mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Dogol. Dogol merupakan satu-satunya anak Pak Bulat dan Mak Manis. Dogol baru berusia enam tahun. Dogollah tempat Pak Bulat dan Mak Manis menumpahkan segala kasih sayang. Segala permintaan dan kehendak Dogol akan cuba dipenuhi sedaya upaya oleh Pak Dogol dan Mak Manis. Dogollah juga harapan Pak Bulat dan Mak Manis untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga daripada hidup susah kepada hidup yang lebih senang. Namun begitu, Dogol ialah seorang budak lelaki yang nakal dan malas. Dia suka melawan suruhan ibunya. Jika ibunya menyuruh Dogol pergi mengaji dengan imam di kampung itu yang bernama Pak Lah Sendal Gusi, macam-macam alasan yang akan Dogol berikan kepada ibunya.
“ Ibu, Dogol sakit gigilah”, kata Dogol sambil menunjukkan giginya yang kuning tidak bergosok beberapa hari itu.
Pada hari yang lain, lain pula alasan yang akan Dogol berikan kepada ibunya.
“ Ibu, Dogol sakit perutlah”, kata Dogol sambil menunjukkan perutnya yang bulat penuh dengan cacing itu.
Itulah perangai Dogol setiap kali ibunya menyuruh dia pergi mengaji di Masjid Ulam Petai Muda.

Setiap pagi juga Dogol susah hendak bangun dari tidur untuk pergi ke sekolah tadika di kampungnya. Setelah puas ibunya mengejut, barulah Dogol bangun sambil mengesat-ngesat matanya yang sepet dipenuhi tahi mata basah. Setelah ibunya menyediakan segala kelengkapan sekolah tadika, Dogol akan pergi ke sekolah tadika dengan berjalan kaki.
Dogol mempunyai dua orang kawan baik yang bernama Daniel Kaw dan Subra Cuba. Mereka bertiga selalu bermain bersama. Setiap pagi sebelum sampai ke sekolah tadika mereka bertiga berjanji untuk berjumpa di Simpang 5 Persiaran 1. Kadang-kala mereka bertiga akan pergi ke sekolah tadika, tetapi biasanya mereka tidak sampaipun ke sekolah. Mereka bertiga akan melencong ke tempat lain. Mereka bertiga suka mandi-manda dan berendam di dalam Sungai Pahang. Mereka berenang dan bermain kejar-kejar di dalam air sungai itu. Mereka lebih suka lagi berendam di dalam air sungai itu jika musim panas. Mereka bertiga malas belajar dan sebab itulah mereka tidak pandai. Cikgu tadika yang bernama Cikgu Normazila selalu memarahi mereka. Apabila tengahari dan setelah puas berenang mereka bertiga cepat-cepat mengenakan semula pakaian seragam tadika dan bergegas pulang ke rumah masing-masing. Seolah-olah baru pulang belajar dari tadika seperti kanak-kanak yang lain.
“ Dogol, macam mana belajar hari ini”? Tanya Mak Manis kepada anak kesayangannya pada waktu makan tengahari.
“Cikgu Normazila mengajar ABC macam semalamlah ibu” jawab Dogol sambil menyuapkan nasi ke mulutnya dengan berselera sekali.
Pada suatu pagi mereka bertiga seperti biasa mandi-manda di tepi sungai Pahang. Tiba-tiba mereka ternampak seekor buaya di tebing sungai Pahang.
“Buaya ! Buaya ! Buaya !” jerit Dogol kepada kawan-kawannya yang lain.
“Mana”? Tanya Daniel Kaw dan Subra Cuba serentak.
“Itu,” kata Dogol sambil menunjukkan ke arah buaya tersebut kepada kawannya lagi berdua.
Mereka bertiga amat takut lalu dengan segera naik ke darat dan mengambil baju masing-masing. Mereka berlari dengan sekuat hati dan tanpa disedari mereka bertiga telah berpecah. Daniel Kaw menuju ke sebelah Sanggar Bahasa, Subra menuju ke arah Masjid Ulam Petai Muda dan Dogol pula ke arah Latar Kaswi. Setelah penat berlari akhirnya Dogol berhenti berehat di bawah sebatang pokok yang rendang. Dari bawah pokok itu Dogol dapat melihat seekor labah-labah sedang tekun membuat sarang. Apabila angin bertiup kencang, sarang labah-labah tersebut terkoyak. Namun labah-labah tidak berdiam diri sebaliknya terus gigih berusaha membaiki sarangnya semula. Dogolpun berfikir di dalam hatinya. Jika dia rajin berusaha dan tidak putus asa seperti labah-labah itu, pasti dia akan berjaya di dalam pelajarannya kerana usaha itu tangga kejayaan. Tentu Cikgu Normazila tidak akan memarahinya lagi. Dogol menyesal dengan sikapnya yang malas dan suka menipu ibunya selama ini. Apabila sampai di rumah Dogol segera memeluk ibunya.
” Ibu, maafkan Dogol” kata Dogol dengan linangan air mata. ”Dogol banyak kali menipu ibu, kata Dogol dalam keadaan sedu-sedan.
Mak Manis agak terkejut lalu bertanya kepada Dogol apa sebenarnya yang telah terjadi. Dogolpun menceritakan segalanya kepada Mak Manis. Mak Manis bersyukur dengan pengakuan jujur yang telah dibuat oleh Dogol. Semenjak hari itu Dogol, Daniel Kaw dan Subra Cuba tidak pernah ponteng sekolah lagi. Mereka bertiga telah menjadi murid yang rajin dan berjaya di dalam pelajaran serta menjadi kebanggaan penduduk Kampung Ulam Petai Muda. Pak Bulat dan Mak manis gembira dengan kejayaan anak mereka yang bernama Dogol bin Bulat. Sekian.

4 comments:

  1. Ada kemajuan ko uda, lepas nih boleh buat novel pulak ye.....

    ReplyDelete
  2. bestnya cerita yg kak huda karang ni

    ReplyDelete
  3. ellehhh tak syoknye hepi ending.. wat la ending yg tragis sket... mulut die kena gigit ngan lelabah ..jadi herot ker.. tu baru baru ada pengajaran.. jgn tipu... dose tau

    ReplyDelete

Yg baik jadi teladan, yg buruk jadi sempadan. Silalah...